Peraga busana kitar semula - MyMetro
Melihat riak dan aksi setiap peserta Pertandingan Busana Kitar Semula selesa menggayakan busana menunjukkan mereka yakin dengan sentuhan pereka masing-masing.
Sedangkan material diperagakan itu diperbuat daripada material terbuang seperti penutup botol, plastik sampah dan surat khabar lama di depan tiga juri iaitu wakil Yayasan Warisan Johor, Abdul Shukor Madom bersama dua wakil Ibu Pejabat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Muhammad Haris Zakaria serta Mohd Rizal Mohd Hamdan.
Melihat pembuatan busana terbabit begitu terperinci dari kepala hingga hujung kaki membuktikan kesungguhan dan kreativiti pereka yang rata-ratanya adalah ibu bapa kepada model cilik beraksi.
Penampilan pemenang tempat pertama, Nur Qisya Qaisara Nur Muhammad Ahmar,9, tidak ubah seperti busana gaun tradisi Mexico yang dipanggil 'Chiapas.'
Memberi gaya sang ratu perhiasan kepala yang dihasilkan daripada pelbagai barangan menunjukkan kegigihan ibu bapa menghasilkan busana terbaik untuk diperagakan.
Menurut bapanya, Nur Muhammad Ahmar Bohkri, 31, dia dan isteri, Syakilah Zulpakar, 31, komited menghasilkan busana dan mempersiapkan anak sulung mereka untuk pertandingan itu.
"Kami bangun 2 pagi untuk hasilkan rekaan yang digayakan Nur Qisya. Kami menggunakan pelbagai elemen boleh dilihat dalam 'sampah' sebagai material.
"Cabarannya ialah masa terhad kerana hari sebelumnya kami menyertai pertandingan lain dan kemudian perlu lakukan persiapan pertandingan ini pula.
"Mujur anak sulung ini jenis komited dan faham tugasannya. Dia boleh beraksi dengan baik meskipun busana ini tidak sempurna," katanya.
Kata Nur Muhammad Ahmar lagi, dia dan isteri minat menguruskan anak menyertai pelbagai pertandingan kerana menyedari keyakinan diri anak sulung mereka itu bertambah baik.
"Apabila terbabit dalam pertandingan sebegini, saya dan isteri seronok kerana dapat lihat impak iaitu anak saya ada keyakinan serta memiliki personaliti mesra.
"Nampak dia komited dan suka dengan perkara sebegini sehingga membentuk personaliti termasuk acara di sekolah.
"Kami pernah pergi sampai Melaka untuk memastikan Nur Qisya dapat sertai pertandingan dan begini kami luangkan masa kualiti bersama keluarga," katanya.
Sementara itu, Nur Shafina Izzati Mohammed, 33, ibu pemenang tempat kedua, Muhammad Naufal Irfan Muhammad Najib, 6, menyifatkan dia dan suami ikut teruja dapat menyertai pertandingan menghasilkan busana kitar semula.
"Acara ini saya dan suami ikut sama teruja apabila ia mencabar had kreativiti dalam menghasilkan busana menggunakan barang terbuang.
"Saya dan suami bukan arif mengenai fesyen, tetapi untuk projek ini rasa seronok apabila berbincang dan menyumbangkan idea menyiapkannya.
"Rumit adalah bahagian perisai yang mana menggunakan penutup botol dan papan 'jigsaw puzzle' yang sudah tidak digunakan lagi.
"Anak saya pula sangat teruja kerana busana dihasilkan mengambil inspirasi adiwira. Biarpun dari atas kepala sarat, dia tidak takut untuk berjalan dan memperagakan baju," katanya.
Kata Nur Shafina, kemenangan dalam pertandingan itu membakar semangat dia, suami dan anak tunggalnya untuk menyertai lebih banyak pertandingan.
"Tidak dinafikan untuk sertai pertandingan, ibu bapa kena main peranan iaitu mencari pertandingan yang sesuai untuk disertai.
"Selain itu, persiapan termasuk baju dan aksesori untuk pertandingan memerlukan sedikit pelaburan segi tenaga, masa dan wang ringgit. Tetapi, itu semua boleh diolah mengikut kemampuan.
"Lebih penting ialah anak sama minat dan bantu beri dorongan sewajarnya supaya keyakinan bertambah," katanya.
Pertandingan itu antara acara dianjurkan dalam Festival Permainan Malaysia @Kuala Lumpur di Dataran Merdeka.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hidayatul Ein Mohamad Azmi berkata, selain 10 permainan warisan utama dipertandingkan, ada pelbagai aktiviti dan pertandingan bagi menggalakkan penyertaan orang awam.
"Pertandingan Busana Kitar Semula memberi mesej penting mengenai penting menjaga alam sekitar dengan mengguna pakai bahan terbuang untuk menghasilkan sesuatu menarik.
"Ia boleh menjadi acara unik disertai ahli keluarga atau bersama kenalan di samping menguji kreativiti. Pada masa sama berpeluang memenangi hadiah," katanya.
https://www.hmetro.com.my/WM/2022/09/886708/peraga-busana-kitar-semula